Saturday 14 January 2012

Mudah tapi sukar.

Ikhlas memang sangat mudah untuk diucapkan TAPI sangat sukar untuk dimiliki. Kerana itu, ia memerlukan satu proses yang panjang sehingga dapat membimbing kita pada sebuah keikhlasan.Ketika rancangan hanya tinggal sebuah rancangan yang tidak akan wujud, maka adalah tidak mudah untuk menerima kenyataan itu, bahkan mungkin sangat sukar untuk kita menerimanya. Hari demi hari dilalui dengan air mata dan kesedihan sangat perit dan sakit untuk dilalui.detik yang berlalu bagaikan satu kesakitan yang hampir membuat diri tidak dapat bangun semula.
Di kesunyian dan keheningan malam, kita menangis di hadapanNYA bukan untuk menyesali apa yang terjadi, tetapi menyesal kenapa kita belum dapat menjadi hambaNYA yang ikhlas menerima kenyataan ini. Tetapi itulah hidup. Adakalanya kita harus mengalami sesuatu yang pahit. Apa-apa pun yang terjadi itulah yang terbaik buat kita meskipun kita sedih, kecewa dan merasa tidak adil.


Kita hanya berusaha untuk redha dengan semua ketentuan yang telah digariskan oleh ALLAH. Menerima apa-apa pun yang terjadi bukan bererti tidak berusaha untuk meraih sesuatu yang lebih baik. Tetapi berusaha untuk ikhlas dan menyerahkan semua ini kepadaNYA. Ini akan menenangkan hati yang gelisah. Kerana disebalik kejadian ini pasti ada hikmahnya dan InsyaAllah ia akan membimbing kita untuk menjadi seseorang yang kuat, sabar dan ikhlas dalam menjalani hidup.
Ketika kita ikhlas dan bersyukur dengan semua yang diberikan, Allah akan memberikan ketenangan yang luar biasa pada hati kita. Sesungguhnya sesudah kesulitan pasti ada kemudahan dan DIA akan memberikan jalan yang terbaik. Yakinlah bahawa rencana Allah itu lebih baik.


Buat sahabat yang sedang bersedih dan peringatan untuk diri sendiri yang begitu lemah di hadapan MU, kuatkanlah semangat, kerana Allah sayang kepada hambaNYA yang kuat dalam menjalani ujian dariNYA. Kerana sebenarnya begitu banyak anugerah dan nikmat yang diberikan olehNYA yang harus kita syukuri.
Berprasangka baiklah kepadaNYA dan bersyukur Allah masih memberikan ujian kepada kita. Itu bererti kita termasuk dari kalangan orang-orang yang masih diperhatikan olehNYA. Allah selalu memberikan sesuatu yang kita perlukan, bukan sesuatu yang kita inginkan. Oleh itu, DIA lebih tahu mana yang terbaik buat hambaNYA.


Ikhlas, sabar dan bersyukur adalah 3 kunci kehidupan. Tidak mudah tetapi sangat sukar. Tetapi tiada yang tidak mungkin jika kita mahu berusaha dan mencuba untuk menjalaninya dalam kehidupan kita. Terima Kasih Ya ALLAH untuk kasih sayang, kekuatan dan semua yang sudah Engkau berikan kepada kami. Berikan petunjuk dan bimbinganMu kepada kami seperti yang telah Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang Engkau sayangi. Izinkanlah hamba yang lemah ini untuk lebih dekat dan mencintaiMu…


1 comment: